Wednesday 16 March 2011




Kata orang ini kisah benar, benar-benar kisah benar yang berlaku.

'Pop Corn Soup'

Itulah nama makanan dia. Popcorn yang bercampur dengan air hujan. Majdi berdiri ditepi tiang, tiang yang betul-betul berada di tengah-tengah dalam tren yang dia masuk. Basah kuyup. Bukan kuyup biasa, tapi benar-benar kuyup. Seperti baru muncul selepas menyelam dalam air.

Sebentar tadi hujan lebat. Dia meredah tanpa kisah. Mungkin dia ingat dirinya ulamak yang tak akan dibasahi dek hujan mungkin. Berjalan penuh bergaya lagak seperti hero dalam filem. Disangkanya hujan hanya perlahan, tapi turunnya terlalu lebat. Menahan muka merah, malu berjalan dalam basah di tempat profesional PWTC dengan kehadiran orang yang ramai.

Dan kini, dia berada di dalam tren. Masih basah. Hanya dia di tengah, keseorangan. Pada awalnya boleh sahaja dia mendapatkan kerusi kosong, Tapi merisaukan orang yang mungkin tidak selesa dengan keadaannya yang begitu, dia merelakan.

Semua mata memerhati. Dengan kopiah hitam dan baju melayu merah satin merah itu. Mereka melihat dia dengan pandangan yang mengasyikkan. Mungkin mereka ingat dia sedang memperagakan model pakaian basah dalam tren itu. Namun wajahnya masih tenang, berpura-pura tiada apa-apa berlaku. Dia memang begitu, sentiasa cool dan macho dalam setiap keadaan.

Tadi dia ke pesta buku. Pernah naqibnya seakan berkata.

"Seandainya malu berdakwah melalui lisan, sampaikan melalui tulisan"

Dan tak akan dapat seseorang menyampaikan melalui tulisan, melainkan hanya dengan pembacaan yang banyak.

Maka dia beli buku banyak, sebanyak-banyaknya. Sehingga dia menyesal. Kadangkala dia juga tidak pasti, apakah hobi sebenarnya membaca, atau membuat koleksi buku. Kerana lebih banyak buku yang dibeli daripada dibaca.

Malam pertama di syurga, keabadian masa, dan koleksi sastera Faisal Tehrani menjadi pilihannya. Harapan, untuk menambah ilmu di dada. InsyaAllah.

Di luar masih rintik, lampu-lampu perang di jalanan pula menambahkan lagi suasana malam

Sudah sampai stesen U. Dia berhenti, hajatnya ingin ke Masjid Wilayah. Di sana terdapat konsert, Shoutul harakah. Untuk Palestin. Dan dia harap dengan itu, semangatnya akan meninggi kembali sebagai mujahid Islam.

Sudah sampai. Masjid Wilayah. Masjid yang setiap kali dia melihatnya, pasti ada satu perasaan tenang dan bening menyusup dalam hatinya. Binaannya seperti Masjid Biru dan Aya Sophea di Turki. Tempat di mana Islam penah membangun megah. Sama. Binaannya memang hampir sama. Dengarnya, memang arkitek untuk masjid ini memang dari Turki. Mungkin kerana itu binaannya seperti binaan reka bentuk Turki.

"Assalamu'alaikum..."

Majdi memberi salam. Tersenyum berjumpa rakan-rakannya yang lain di sana.

"Wa'alaikumussalam. Wah! Ini dah macam ahli Shoutul Harakah!" Rakannya berseloka. Melihat dia yang memakai kain Palestin di leher. Dibelinya tadi seusai sampai di perkarangan masjid, dengan niat di hati untuk menderma kepada saudara di sana.

Slideshow dipasang. Lagu dimainkan. Sajak di deklamasikan. Untukmu Palestin. Darah kami, dan jiwa-jiwa kami. Dia hanyut dalam perasaan dan kasih kepada saudaranya di sana. Membayangkan dirinya menjadi mereka.

"Aku ingin membuka Palestin, Ya Allah izinkanlah aku untuk itu.." Bisiknya dalam hati, dalam air mata yang hampur bergenang,

"Dum!"

Dewan bergema dengan  gempaan jihad dari Shotul Harakah. Semangat benar-benar berkobar. Hadirin semua berdiri. Tangan digenggam. Erat, seerat tekad di hati.

"Setiap titis peluh dan darah, tak akan sirna ditelan masa.. Segores luka di jalan Allah, kan menjadi, saksi pengorbanan.."

Dan dewan pun terus bergema.

"Bangkit, kerana setiap langkah kita, adalah langkah jihad! Tiada langkah kita, melainkan langkah jihad!"
Semangat keluar menggunung dari ucapan ahli kumpulan Shoutul Harakah itu.

"Setiap langkah kita adalah langkah jihad? Allahhuakbar. Aku akan memerhatikan langkahku.." Majdi berbisik di hati.

Majlis usai.Dengan satu perancangan. Dalam masa satu bulan, rm 1 juta akan dikumpulkan untuk palestin. Ramai berjalan pulang, malah ada yang bersuai kenal merapatkan ukhuwwah. Majdi berjalan ke arah kumpulan sahabatnya.

"Bagaimana kita?" Majdi tertanya sambil ketawa kecil.

"Hurm, terus. Terus melangkah demi melakar masa depan Islam" Sahabatnya membalas sambil tersenyum, yakin.

Dan mereka terus menggegam harapan bersama.



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjgOx3hFlu0idaGfWLwew8eOscor1o2enT3HxYBRkvnT7QDaB8F7b4MvZ0-0IdcxIkgpEXN16qrwbnWMjc6t6w_r_CcEsv5Gn0VySu9nLm50iZ8m2SfoxUdEDALOghclioFYx-vaReYag4/s320/scan0007.jpgAku masih teringat..

Dulu, aku sering ke surau dengan abah.. dan kadang-kadang aku tertidur di sana..

bila aku sedar..

Aku dalam pelukan abah.. hangat..

Abah mendukungku pulang ke rumah..

Aku masih ingat ketabahannya semasa mendidikku, melayan segala kerenahku. Sabar.. dan amat sabar.

Walau ke mana, walau apa pun, walau sesusah mana.

Dan aku..

masih ingat wajahnya semasa senyumannya ketika gembira, gembira dalam kasih sayangnya kepadaku.

Allah..

Aku..

Tak mampu untuk teruskan..

.....................................................................................

Aku berada di dalam kereta.. Menunggu detik untuk melihat wajah abah. Buat kali yang terakhir.

Aku sampai, mencium tangan mak.. memeluk mak yang sedang menangis..

Aku melihat wajah abah.

"Mak, abah tersenyum mak.."

"Mak tau.." jawab mak, pilu..

Wajah jenazah abah tersenyum manis sangat. Aku tidak pernah melihat abah senyum semanis ni. Allah..

Mak sentiasa di sisi abah, ingin bersama abah selagi ada masa..menangis sendu.

Dan aku.. aku perlu kuat.. namun melihat wajah mak kemudian wajah abah membuatkan aku sebak dan terus hanyut dan tenggelam dalam air mata dan perasaan..

Sebentar mak tersenyum, sayu..

"Mesti abah bahagia sangat di sana.. sampai senyum macam tu.. Abah seronok je kat sana.. tinggal kita sedih di sini..Abah, seakan tidur.."

Mak terus mengusap abah.. dan kami terus menangis..

Sahabat-sahabat, rakan seperjuangan, anak murid, dan saudara mara abah ramai yang datang, menziarahi, menghargai.

Kami adik-beradik membantu memandikan abah. Melihat abah dimandikan sebegitu, kami tak mampu menahan. Rifhan menangis, Jausyan memelukku. Aku juga, menangis semahunya..

Tapi demi Allah, dengan senyuman yang begitu. Abah kelihatan amat seronok, seronok dimandikan. Dan ianya sedikit sebanyak mengubat dan memujuk hatiku..

Abah dikafankan, dan kami semua memberi ciuman dan penghormatan terakhir untuk abah..

Aku memakai jubah hitam. Jubah yang dibelikan di mekah. Jubah yang abah belikan. Aku manarik nafas. Mengambil wudhuk. Menghadap jenazah dan keranda abah yang telah diselimutkan dengan ukiran khat emas berkain hitam.

Semoga abah bangga dengan anaknya. Aku mengangkat takbir, disambut dengan suara takbir ramainya para jemaah yang lain. Aku menjadi imam untuk sembahyang jenazah abah. Aku menghayati. Amat menghayati.. Aku berdoa penuh berharap pada Allah.. untuk abah..

Abah, selamat dikebumikan..

.............................................................................

Petang itu hening. Benar-benar hening.

Angin membelai lembut. Dan daun-daun berdesir perlahan. Jubah beralun tenang. Aku berdiri di tepi kubur abah. Seorang diri.

Memandang segalanya. Menadah tangan.

"Ya Allah, aku tak tahu adakah aku anak yang soleh. Aku yakin janjimu bahawa apabila anak adam meninggal dunia, tak akan terputus darinya anak yang soleh. Ya Allah, Kau ampunilah ayahku..Kau lapangkanlah kuburnya, Kau rahmatilah dia. Kau kurniakanlah syurgaMu yang tertinggi tanpa hisab ya Allah. Ya Allah, sesungguhnya dia hambaMu yang soleh, anak yang soleh, suami yang soleh, ayah yang soleh. Dia benar-benar telah mendidikku dengan baik ya Allah.."

Allah..

Abah, abah jangan risau. Abah masih ada abang dan adik-adik. Kami sentiasa akan doakan abah. Sampai bila-bila abah..InsyaAllah, semoga abah bahagia di sana..


Hidup kami benar-benar berubah..

Rumah yang penuh dengan kenangan suka dan duka akan ditinggalkan. Itu rumah kerajaan, dan kami tinggal kerana abah pensyarah. Jausyan akan berpindah sekolah. Dan aku akan terus menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga.

Keluarga abah dan mak amat baik. Pernah aku terfikir, aku ketua keluarga sekarang. Aku perlu mencari kerja. Aku perlukan sekurang-kurangnya untuk menyara keluarga.

"Jangan fikir lagi tentang kerja atau apa, nadwan ada mak dan ayah saudara yang ramai sangat.."

Keluarga mak abah amat membantu. Mereka amat menolong. Mereka amat berkorban. Allah..

Suasana terlalu sayu. Seakan sentiasa menangis, sekan sebak senantiasa mengunjung.

Mak, mak terlalu rindukan abah.. sangat. Mak selalu sakit. Mak ada darah tinggi.
Dulu abah yang akan selalu jaga mak, berada di samping mak. Tapi nanti, bila nanti.., siapa yang akan jaga mak? Mak tak sihat. Nanti, rifhan akan balik ke asrama.. Baqiri akan ke sekolah, dan aku akan ke uia. Siapa nak jaga mak nanti?.. Siapa nak jaga bila mak kesunyian nanti? Bila mak amat memerlukan teman di sisi.. Allahuakbar..

Aku menangis, memikirkan tentang mak.

"Nadwan.. kesian kat abang nanti.." perlahan mak berkata-kata..

Aku mendongak.

"Kenapa mak?.."

"Nanti abang kena cari isteri yang dapat terima mak.. yang dapat duduk sekali dengan mak nanti.."

Aku mencium dahi ibuku..

"Mak jangan risau...."

"InsyaAllah..Abang akan jaga mak.. walau apa pun yang terjadi.. walau macamna pun.. sampai bila-bila mak.... sampai bila-bila...."





Ini kisah mereka.. kisah cinta yang insyaAllah membawa ke syurga.

Kata mak..

Mak abah berjumpa di program. (Mungkin tamrin sebenarnya) Program akhir tahun siswa siswi universiti.

Kata mak, ketika itu mak sedang menuruni tangga, dan terpandang abah. Itulah kali pertama mereka berjumpa mungkin. Cinta pandang pertama.

Mak muslimah yang solehah, beriman. Bertudung labuh dan berjubah lembut. Mak mempunyai wajah yang indah subhanAllah. Cantik dan menyenangkan. Mak pernah dipinang, malah beberapa kali. Alhamdulillah, mak senantiasa bergantung pada Allah. Setiap pinangan, mak akan istikharah. Pernah hadir sebuah pinangan untuk mak, yang mak istikharah ke atasnya. Dan kata mak..

"Mak mimpi mak pakai pakaian pengantin.. indah.. tapi mak pelik.. kenapa baju pengantin mak tak habis dijahit.. tak lengkap.."

Dan pinangan abah datang. Hadir, Seakan angin yang menyampaikan sinar bahagia yang menenangkan.. dan pada Allah, mak bergantung harap. Mak sekali lagi istikharah.

Dan Allah mengurniakan. Juga tanda dalam mimpi.

Mak lihat..

"Mak sembahyang,. mak solat.. dan abah.. abah yang menjadi imam.. abah yang menjadi pemimpin.."

Cerita mak sambil tersenyum..

Dengan redha, mak menerima, dengan cita-cita menjadi isteri yang solehah. Alhamdulillah.

Aku pernah melihat surat mak pada abah semasa pertunangan. Surat cinta dahulu kala. Aku tersenyum. Hehe. Membahagiakan. Aku pernah melihat buku haraki yang dihadiahkan mak pada abah, dengan kata-kata semangat seorang muslimah kepada mujahid. Agar terus tetap dalam perjuangan. Oh, bahagianya..

Mak selalu cerita tentang kenangan manisnya..

Dulu, ketika mak mengidam mengandungkan anak sulungnya, iaitu aku, mak pernah teringin untuk makan buah, dan abah belikan 2 bekas besar khas untuk mak. Ketika mak dalam pantang dan terasa meikmati keindahan minuman, abah hadir dengan satu jug besar. Cerita mak sambil tersenyum.

Dan begitulah abah, terlalu baik. Amat baik. Dan hidup mak senantiasa bersama abah.

Mak kadang-kadang sakit. Pernah mak pengsan dua kali. Pernah mak memasuki wad. Pernah kami sekeluarga mengalami detik-detik yang amat mensyahdukan. Abah pangku mak, dan abah menangis. Aku sebak melihat abah menangis. Dan aku tak pernah melihat abah menangis seperti itu sebelum ini. Dan abah, benar-benar menjaga mak dengan sepenuh jiwa dan raga.

Cerita mak..

Ketika sama-sama menunaikan haji. Ketika semua jemaah sudah pulang, abah masih belum pulang walaupun sudah 2 jam berlalu. Mak risau.

Dan kelihatan abah..

"Abang ke mana? Risaunya ani.."

"Abang buat tawaf, dua kali.. satu untuk abang, dan satu untuk ani.." kata abah sambil tersenyum.

Mak terharu, biasanya tawaf setengah jam. Tapi disebabkan ramai orang, jadi sejam. Dan abah sanggup buat untuk mak.

Abah dan mak selalu berlumba untuk beribadah..

"Abang buat solat sunat tasbih lagi banyak daripada ani.."

"Isk, ani tak boleh sembahyang boleh lah abang potong.."

Dan abah hanya ketawa.

Dalam sunat tasbih, dalam solat tahajjud, dan pelbagai perkara. Di rumah ada sebuah buku. Amalan harian di bulan ramadhan, amalan setiap hari. Dan abah dan mak selalu berebut untuk buku tersebut. Selalu bertukar tangan.

Pernah mak tanya,

"Abang suka ani marah-marah, tapi sihat ke.. atau ani diam, tapi ani sakit.."

"Tentulah abang suka ani sihat, walaupun marah-marah.." jawab abah..

Dan bila mak teringinkan sesuatu, abah akan usaha membahagiakan mak. Abah seorang tukang masak yang baik. Amat baik.

Dan abah selalu membanggakan mak.

Ke mana mak pergi, mak bangga bila orang berkata. Dan selalu berkata.

"Beruntung Ani dapat suami macam tu.."

Mak gembira.

Kadang-kadang mak pening kepala. Abah akan belai kepala mak. Bacakan ayat al-quran dengan penuh kasih sayang. Dan itu amat menenangkan mak..

Pernah mak berkata..

"Abah terlalu baik, amat baik.. Sehinggakan mak penah terfikir, jika abah mengimpikan untuk berkahwin baru. Mak akan izinkan, mak akan benarkan.. Abah terlalu baik, dan mak senantiasa inginkan kebahagiaan abah.."

Dan abah selalu membanggakan mak, hingga saat terakhir. Hingga abah kini,

Sudah tiada.

Pergi untuk bertemu cinta agungnya..

Abah membanggakan mak dengan senyuman manisnya walaupun abah sudah tiada. Senyuman yang meredakan tangisan kami. Abah membanggakan mak dengan pujian sahabat abah kepada jenazah.

Mak sedih, terlalu sedih. Mak peluk dan belai abah.

Ketika tangisan mak mereda. Mak berkata..

"Senyuman abah sinis, seperti senyumannya selalu untuk mengusik mak.."

Mak seakan tak lalu makan. Dan aku cuba menyuap. Mak menahan sambil menangis.

"Jangan suap mak, mak akan teringatkan abah.."

Mak tak boleh mendengar deringan telefon.

"Mak berharap sangat yang telefon tu abah.."

Mak terus menangis.. Sebentar mak tersenyum.

"Abah terlalu baik, sehinggakan nak mencari keburukan, susah sangat.. kecuali satu.. suara abah yang tak sedap.. Itupun mak rindukan sangat suara tu..." ujar mak..

Menarik nafas. Dalam. Amat dalam.

"Nadwan, mak perlu kuat kan? Sebab abah dah pergi dengan baik sangat. Jadi mak kena gembira. Mak kena gembira bila abah gembira. Abah, dah bahagia sangat hingga senyum begitu sekali. Mak juga nak jadi macam abah. Mesti abah dan dapat bidadari yang cantik-cantik kan?Agak-agak abah ingatkan mak lagi tak?.. "

Mak terus tersenyum.

"Mak nak buat ibadah banyak-banyak.. mak nak jadi macam abah.. mak nak masuk syurga sama-sama... sampai nanti.. insyaAllah.. mak nak jadi ketua bidadari untuk abah di syurga nanti..."

Dan hati seorang isteri terus tabah. Mendamba penuh harapan dalam tangisan penuh kerinduan...

No comments:

Post a Comment